KOTA BHARU | Jumlah pesakit di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Kelantan menunjukkan trend peningkatan selepas Hari Raya Aidiladha.
Ia berikutan peningkatan kes yang dilaporkan di negeri ini pada setiap hari di antara angka 300 sehingga melebihi 500 kes sehari.
Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir berkata, peningkatan ketara kes baharu COVID-19 berlaku selepas Aidiladha berikutan beberapa kluster baharu yang dilaporkan.
Katanya, peningkatan itu menyebabkan beberapa PKRC menjadi sesak dengan jumlah penggunaan katil sehingga 98 peratus iaitu PKRC Pusat Tarbiah Islam Kelantan (PUTIK) di Pengkalan Chepa dan Dewan Jubli Perak di sini.
“Jumlah pesakit di PUTIK adalah seramai 298 orang daripada kapasiti 300 orang dan di Dewan Jubli Perak 201 pesakit daripada kapasiti 210 orang.
“Jumlah keseluruhan penggunaan katil di semua PKRC setakat ini di antara 80 hingga 98 peratus,” katanya ketika ditemui selepas membuat tinjauan di Unit Pengangkutan COVID-19 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Dr Mohd Zurairie berkata, peningkatan kes COVID-19 menyebabkan pihaknya akan membuka dua lagi PKRC iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Salor Jumaat ini dan sebuah lagi di luar jajahan Kota Bharu.
Katanya, dua PKRC itu dibuka untuk menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat, selain menambah bilangan katil di PKRC yang sedia ada.
“Kita juga membenarkan pesakit yang stabil secara klinikal untuk menjalani perintah kuarantin di rumah (HIO) dengan syarat-syarat tertentu bagi memastikan mereka selamat dan tidak menjangkiti COVID-19 kepada individu lain.
“Pihak kita juga mengharapkan kerjasama orang ramai untuk sama-sama bertanggungjawab mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Bagi mereka yang memakai gelang merah jambu diharapkan tidak keluar rumah kerana akan merisikokan orang di sekeliling mereka untuk dijangkiti COVID-19,” katanya.