KUDAT | Sembilan menara telekomunikasi baharu di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), di sini telah beroperasi sepenuhnya sejak 15 Jun lalu.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan berkata, penduduk di beberapa buah kampung di Kudat, Sabah dapat menikmati perkhidmatan yang lebih pantas dan berkualiti.
Katanya, seramai 6,520 penduduk di bahagian Kudat dijangka menerima manfaat pembinaan menara berkenaan.
“Pembinaan menara tersebut dilaksanakan di bawah Projek Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) itu sekaligus mentransformasikan kehidupan penduduk setempat dalam mengharungi era digital yang semakin pesat.
“Daripada sembilan menara tersebut; lapan menara terletak di daerah Kudat iaitu di Kampung Kubatang, Lodung, Indarason Laut, Rondomon, Membatu, Inukiran, Panikuan, Toporoi dan sebuah menara lagi terletak di Kabatasan di daerah Pitas,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, dalam masa yang sama kerja-kerja pembinaan tapak menara komunikasi baharu bagi 13 lagi menara komunikasi di Bahagian Kudat sedang giat dilaksanakan.
Katanya, kesemua menara tersebut dijangka siap secara berperingkat menjelang bulan Disember 2021 oleh pihak penyedia perkhidmatan yang dilantik.
“Adanya penambahan menara-menara komunikasi di Kudat, ianya akan memudahkan penduduk setempat untuk melaksanakan pelbagai urusan harian seperti pembelajaran dalam talian, bekerja dari rumah (WFH) dan urusan perhubungan.
“Selain itu, kesalinghubungan Internet yang lebih baik juga akan membantu memperbaiki sosioekonomi penduduk di kawasan ini melalui pelbagai aktiviti ekonomi yang boleh dilakukan secara dalam talian dengan lebih lancar.