SEREMBAN | Kerajaan Negeri Sembilan membuka semula permohonan Tabung Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan (TUNS) bagu membantu usahawan mikro pada 1 Ogos nanti selama sebulan.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan Dan Modal Insan Negeri Sembilan Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, TUNS adalah inisiatif Kerajaan Negeri Sembilan menyediakan geran bantuan sehingga RM3,000.
Katanya, inisiatif TUNS bermula tahun 2019 dimana sebanyak RM3 juta diperuntukan yang telah memberi manfaat kepada 1,046 usahawan.
“Untuk tahun 2020, jumlah geran dana telah dipertingkatkan kepada RM6 juta yang memberi manfaat kepada 2,023 usahawan.
“Bagi tahun ini sebanyak RM6 juta dana diperuntukan untuk bantuan kepada usahawan mikro.
“Sebanyak RM3 juta diperuntukan kepada TUNS yang memberi akan faedah kepada 1,000 usahawan mikro. Manakala tambahan 200 usahawan mikro lagi akan dibantu dibawah skim yang baru diperkenalkan iaitu TUNS Plus dengan jumlah dana peruntukan sebanyak RM3 juta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, TUNS Plus adalah pinjaman mudah tanpa faedah sehingga RM15,000 dengan bayaran balik maksima selama 5 tahun (60 bulan).
Katanya, untuk TUNS Plus, 72 permohonan telah diproses dan diluluskan sebelum ini.
“Usahawan-usahawan mikro yang berjaya di bawah skim TUNS Plus ini bakal menerima dana setelah mereka menandatangani perjanjian persetujuan pematuhan syarat-syarat pada 11 Ogos 2021 ini di pejabat Pusat Runding Cara Usahawan Negeri Sembilan (PRUNS) di Bangunan PKNNS, Jalan Zaaba, Seremban.
“Pembukaan TUNS Plus pusingan kedua bermula 25 Jun sehingga 25 Julai telah menyaksikan sebanyak 593 permohonan baru yang akan diproses oleh JK Teknikal TUNS Plus dan bakal diputuskan oleh JK Kelulusan TUNS Plus dalam tempoh terdekat ini,” katanya.
Menurutnya, permohonan TUNS pada bulan Ogos ini bakal memberi peluang kepada 600 usahawan mikro yang membabitkan peruntukkan sekitar RM1.8 juta.
“Pemohon-pemohon diharap dapat memahami sepenuhnya prosedur permohonan dan melengkapi maklumat serta melampirkan kesemua dokumen yang dikehendaki,” katanya.