By Ismail Muhamad
KOTA BHARU | Sebanyak 1.5 tan durian pelbagai jenis diagihkan secara percuma kepada orang ramai di Jalan Wakaf Mek Zainab di sini, hari ini.
Agihan yang dibuat oleh seorang penduduk dari Chicha Kubang Kerian, Wan Abdullah Sani Wan Ahmad, 61, bersama rakannya dikenali Pok Su secara pandu lalu itu membolehkan setiap penerima menerima antara tiga hingga lima biji durian.
Pemberian durian kepada orang ramai yang melalui jalan berkenaan dimulakan pada 9 pagi dan habis diagihkan dalam masa 45 minit sahaja.
Wan Abdullah Sani berkata, dia mengagihkan durian secara percuma bagi memberi peluang kepada orang ramai menikmati raja buah kerana tidak semua dapat membelinya walaupun harganya sudah menurun sekarang.
Menurutnya, dia membeli durian secara borong daripada pembekal di Tanah Merah dan Jeli untuk diagihkan secara percuma kepada orang ramai selain membantu mengatasi lambakan raja buah.
“Apa yang saya lakukan ini sekurang-kurangnya dapat membantu pekebun menghabiskan jualan mereka kerana buah durian cepat rosak,” katanya ketika mengagihkan durian di Jalan Wakaf Mek Zainab di sini, hari ini.
Dia berkata, agihan pertama kali itu diadakan di Jalan Wakaf Mek Zainab yang tidak tertalu sesak dengan kenderaan kerana ia terletak di luar pusat bandar ini.
Seorang penerima, Faridah Mohamad,41, dari Wakaf Mek Zainab berkata, dia berterima kasih kepada individu terbabit yang mengagihkan durian secara percuma.
Katanya, dia tidak menyangka menerima empat biji durian secara percuma ketika melalui jalan berkenaan.
“Sebelum ini saya beli durian kampung dengan harga RM6 sekilogram.
“Alhamdulillah, agihan durian secara percuma hari ini dapat beri peluang kepada orang ramai untuk nikmati raja buah ini,” katanya.