KUALA LUMPUR | Sebanyak 10 buah rumah asnaf menerusi program MyHAUS dapat disiapkan dan enam lagi sedang dibaik pulih dengan pembinaan mencapai 35 peratus bagi tahun lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, manakala bagi tahun ini, sebuah rumah telah berjaya disiapkan dan berbaki 50 buah lagi.
“Alhamdulillah, kita berjaya menyiapkan 10 rumah asnaf dan enam lagi sedang dibaik pulih bagi tahun lalu.
“Saya ingin mengucapkan sekalung penghargaan kepada Majlis Agama Islam Negeri, Bank Islam Malaysia Berhad, Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) atas kerjasama dalam program MyHAUS yang diusahakan oleh agensi-agensi agama di bawah tanggungjawab saya.
“Rumah adalah keperluan asas dalam sesebuah institusi keluarga,” katanya menerusi laman Facebooknya di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya akan terus berusaha memperkukuh kerjasama dengan pemegang taruh dan pihak berkepentingan bagi manfaat umat Islam.