KUALA LUMPUR | Seramai 40 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sebulat suara menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yakob, berkata keputusan itu dibuat selepas beliau mempengerusikan perjumpaan bersama seramai 40 Ahli Parlimen BN.
“Menjunjung kasih akan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni; dan ahli Parlimen BN sebulat suara menyokong Kerajaan pimpinan Muhyiddin.
“Ahli Parlimen BN juga akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan keutamaan kepada kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat serta negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Media hari ini melaporkanYang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan pengumuman kerajaan berkenaan pembatalan semua Ordinan Darurat kerana ia belum diperkenankan baginda.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, semasa majlis menghadap secara maya 24 Julai lalu bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan, telah tidak dilaksanakan.
Tamat