KUALA LUMPUR | Sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang amat terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan pandemik COVID-19 mengalami kerugian sebanyak RM40.7 bilion.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, data itu dikeluarkan daripada Jabatan Statistik Negara.
Katanya, sumbangan PKS kepada
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mengecil kepada 38.2 peratus (RM512.8 bilion) pada tahun 2020, berbanding 38.9 peratus (RM553.5 bilion) pada 2019.
“Malaysia mempunyai sebanyak 1.15 juta syarikat PKS di seluruh negara.
“Ini bermaksud, jika diambil kira nilai kerugian yang dialami oleh negara dari sektor ini, secara purata, nilai sumbangan setiap syarikat PKS dianggarkan menyusut sebanyak RM35,350 pada tahun 2020.
“Penutupan sektor PKS juga bermaksud lebih daripada 7 juta rakyat Malaysia bakal kehilangan pekerjaan dan sekiranya setiap pekerja mempunyai dua tanggungan, seramai 14 juta individu akan terkesan dengan situasi ini,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, awal minggu ini, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) telah mencadangkan pembukaan ekonomi kepada kerajaan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih terperinci.
“Saya harap kita dapat mempercepatkan pembukaan sektor PKS dengan segera untuk kelangsungan perniagaan mereka,” katanya.