KOTA BHARU | Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) memohon maaf di atas gangguan bekalan air dan kesulitan kepada semua pelanggan yang terbabit.
Gangguan bekalan air itu membabitkan kira-kira 200,000 penduduk di lima jajahan termasuk Kota Bharu Selatan, Pasir Puteh, Machang dan Tumpat.
AKSB dalam satu kenyataan memaklumkan, usaha-usaha telah dibuat untuk menangani masalah luar jangka di masa akan datang.
Katanya, bagi mengatasi masalah gangguan air, bekalan air menerusi lori tangki dihantar ke kawasan penduduk.
“AKSB menempatkan tangki statik di kawasan yang dikenal pasti dan akan memastikan tangki itu sentiasa ada air untuk kegunaan pelanggan. Kita juga menghantar air melalui lori air kontrak (LAK) dan lori tangki air (tanker) AKSB ke tangki statik dan pelanggan AKSB yang terbabit.
“Masalah air di kawasan Perumahan Taman Sri Machang yang menerima bekalan air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) Merbau Chondong disebabkan oleh pemberhentian pam air mentah di medan telaga ekoran bekalan Tenaga Nasional Berhad (TNB) terputus, Jumaat lalu.
“Akibatnya pengeluaran air terawat berkurangan dan menyebabkan kurangnya takungan air di tangki utama di LRA Merbau Chondong, Tangki Kubah dan Tangki Machang.
“LRA Merbau Chondong membekalkan air terawat ke jajahan Machang, Pasir Puteh dan kawasan Kota Bharu Selatan. Ianya mengambil masa untuk pulih sepenuhnya selepas bekalan eletrik TNB disambung balik,” katanya.
Kenyataan itu berkata, terdapat 19 akaun pelanggan yang terletak di kawasan lebih tinggi dari paras paip air masuk ke Tangki Amboran di Taman Sri Machang dan mudah terkesan apabila pengeluaran LRA Merbau Chondong menurun.
Menurutnya, kawasan perumahan yang lokasinya lebih rendah dari Tangki Amboran, akan pulih lebih cepat selepas gangguan bekalan air pulih.
“Bekalan air terawat mula stabil pada Isnin dan semakin pulih. Insya-Allah persekitaran akan kembali normal dalam masa terdekat,” katanya.
Katanya, penyusutan sumber air tanah sebanyak 4 juta liter sehari (JLH) di telaga LRA Wakaf Bharu menyebabkan gangguan bekalan air di Taman Sri Kota, Kebakat, Morak terutamanya yang terletak di hujung sistem agihan.
Katanya, AKSB melakukan penyelenggaraan telaga
bagi meningkatkan pengepaman air mentah dan kecekapan telaga.
Media semalam melaporkan, lima jajahan atau separuh daripada negeri ini yang membabitkan kira-kira 200,000 penduduk berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual yang berlarutan hingga lima hari sejak Khamis lalu.