KUALA LUMPUR | Datuk Dr Anhar Opir secara rasminya dilantik sebagai Mufti Selangor berkuat kuasa 21 Mei lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, sebelum ini, Anhar memegang jawatan sebagai Timbalan Mufti Selangor sejak tahun 2016.
“Menjunjung kasih Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj atas perkenan mengurniakan Watikah Pelantikan Sahibus Samahah, Datuk Seri Utama Diraja Mufti Selangor yang baharu.
“Sahibus Samahah Datuk Dr Anhar Opir kini secara rasminya dilantik sebagai Mufti Selangor berkuat kuasa 21 Mei 2021. Sebelum ini, beliau memegang jawatan sebagai Timbalan Mufti Selangor sejak tahun 2016,” katanya menerusi laman Facebooknya di sini hari ini.
Beliau berkata, mengenali Anhar sejak sekian lamanya, beliau adalah calon yang layak untuk memegang jawatan Mufti.
“Ia adalah jawatan yang penuh kehormatan, kemuliaan namun disebaliknya ada satu amanah maha besar yang dipertanggungjawabkan di atas pundak seorang yang bergelar Mufti.
“Semoga Allah SWT sentiasa memandu Sahibus Samahah Datuk Dr Anhar Opir dalam menerajui institusi fatwa di Selangor dengan jayanya dalam keredhaan Allah SWT,” katanya.