KUALA LUMPUR | Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjadi vaksinator ketika melawat program di Pusat Pemberian Vaksin Bergerak (PPVB) di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Negeri Sembilan, semalam.
Dr Noor Hisham sempat menyuntik vaksin kepada beberapa individu.
Beliau berkata, sasaran liputan di PPVB itu adalah seramai 2,500 orang atau 80 peratus akan diberikan vaksin COVID-19 bagi dos pertama.
“Alhamdulillah, saya berpeluang menyertai program PPVB oleh HCTM bagi penduduk di Seri Menanti, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
“Program PPVB Seri Menanti di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) ini bermula 26 hingga 30 Julai dengan sasaran liputan 80 peratus penduduk iaitu seramai 2,500 orang diberikan vaksin COVID-19 dos pertama.
“PPVB bertujuan untuk menyediakan akses yang lebih luas kepada masyarakat luar bandar untuk mendapatkan vaksin, terutamanya bagi mereka yang masih belum mendaftar untuk vaksinasi di bawah PICK atau pun belum menerima tarikh temujanji melalui aplikasi MySejahtera,” katanya menerusi laman Facebooknya di sini.
Beliau berkata, sehingga 28 Julai, seramai 1,728 orang penduduk di sekitar Seri Menanti telah divaksinasi iaitu menerusi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) satelit di Seri Menanti Resort bagi individu yang stabil dan lawatan rumah ke rumah bagi pesakit terlantar di rumah atau warga emas atau orang kurang upaya (OKU).
Menurutnya, program itu adalah hasil kerjasama pelbagai pihak iaitu HCTM UKM, PPV Institut Pengajian Tinggi (IPT), Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Semoga segala usaha ini akan dapat membantu negara dalam mencapai sasaran liputan imunisasi kelompok dengan secepat mungkin,” katanya.