PUTRAJAYA | Kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih lagi mendapat sokongan melebihi 110 Ahli-Ahli Parlimen yang masih bersama-sama kerajaan pada hari ini.
Ketua WHIP Kerajaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap rakyat bertenang di dalam menghadapi situasi terkini dan sama-sama berdoa agar kemelut politik ini berakhir dengan segera.
“Saya menjunjung akan titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin AI-Mustafa Billah Shah lbni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Istana Negara pada hari ini.
“Situasi politik negara pada hari ini dalam keadaan yang tidak stabil yang boleh menjejaskan usaha menyelesaikan masalah ekonomi dan memerangi pandemik COVID-19.
“Saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan masih mendapat sokongan melebihi 110 Ahli-Ahli Parlimen yang masih bersama-sama kerajaan pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hari ini, pentas politik negara dihangatkan dengan tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan usul hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Dewan Rakyat.
Ia susulan pendedahan Istana Negara berhubung keputusan kerajaan melaksanakan pembatalan Ordinan Darurat yang membelakangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong.
Berkait isu sama, Pemuda UMNO mendesak Muhyiddin supaya meletakkan jawatan dengan segera kerana didakwa telah melanggar sumpah jawatan untuk sentiasa taat kepada Yang di-Pertuan Agong.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan tindakan kerajaan membatalkan darurat tanpa perkenan Seri Paduka Baginda selaku ketua negara jelas menunjukkan satu bentuk penderhakaan.