by Nor Shazleza Shahril
KUALA LUMPUR | Susulan seramai 56 kes positif COVID-19 dikesan di Parlimen, Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan jumlah kehadiran secara fizikal di Parlimen dikurangkan dan tempoh persidangan dipendekkan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata perkara itu dicadangkan beliau ketika Mesyuarat Penyelarasan Bagi Urusan Berkaitan Mesyuarat Khas Bagi Dewan Rakyat pada Isnin lalu.
“Mengambil kira situasi semasa COVID-19 di Malaysia, keputusan saringan dijalankan sebelum Parlimen bersidang dan bagi mencegah penularan COVID-19 ketika persidangan berlangsung, KKM mencadangkan jumlah kehadiran secara fizikal di Parlimen dikurangkan dan tempoh persidangan dipendekkan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, sehingga semalam sebanyak 56 kes positif COVID-19 dikesan membabitkan dua Ahli Parlimen, pegawai pengiring (enam) dan pegawai dari pelbagai agensi kerajaan (48).
Katanya, ini menjadikan kadar positif adalah 2.7 peratus dan daripada 56 kes positif itu, seramai 39 orang atau 69.6 peratus adalah mereka yang belum menerima dos vaksin lengkap atau belum menerima vaksin.
“Hasil siasatan dan penilaian risiko dijalankan sehingga semalam, kes positif ini tidak mempunyai kaitan epidemiologi di antara satu sama lain.
“Justeru, individu yang disahkan positif tidak dibenarkan hadir ke Sidang Parlimen. Mereka sudah diasingkan, dirawat dan diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (HSO) termasuk kepada kontak rapat kes positif sebelum bermula Sidang Mesyuarat Khas Parlimen,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata, siasatan masih diteruskan untuk mengesan kontak rapat kepada kes positif ini dan sehingga semalam, empat kontak rapat disahkan positif COVID-19.
Katanya, semua kontak rapat ini tidak hadir sejak hari pertama persidangan berlangsung dan sedang dalam tindakan susulan oleh pihak kesihatan.