LUMUT | Maritim Negeri Perak telah menahan sebuah bot yang menggunakan pukat rawa sorong kerita menjalankan aktiviti perikanan di sekitar 0.4 batu nautika dari Pulau Pasir Hitam, Perak pada 11 pagi semalam.
Pengarah Maritim Negeri Perak Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot terbabit ditahan ketika anggotanya melakukan rondaan rutin Op Benteng Laut dan Op Pintas di sekitar perairan Pantai Remis.
Katanya, ketika rondaan, bot ronda Maritim telah mengesan sebuah bot nelayan tempatan dalam keadaan mencurigakan sedang melakukan aktiviti perikanan dalam kawasan yang dilarang oleh syarat sah lesen iaitu kurang dari 3.0 batu nautika.
“Menyedari kehadiran bot penguatkuasa, kru bot tersebut bertindak meloloskan diri dengan cara terjun ke laut dan berenang ke hutan paya bakau berhampiran.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek dipercayai sedang melakukan aktiviti perikanan dengan menggunakan pukat rawa sorong,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, bot tersebut dipercayai berpengkalan di Pantai Remis, Perak telah disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 menangkap ikan di zon yang dilarang.
Katanya, bot tersebut dibawa masuk ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Kampung Bharu Setiawan Perak petang tadi bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
“Dalam perkembangan lain, pada 20 dan 24 Julai lalu, pihak Maritim Perak berjaya merampas 290 set bubu naga di sekitar perairan Pulau Talang dan Pulau Pasir Hitam.
“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM34,800 dengan harga anggaran RM120 setiap unit. Bubu tersebut dirampas dan dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, pemilik bubu naga boleh didakwa mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.
Katanya, orang ramai diminta menyalurkan maklumat atau aduan jenayah maritim kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999.