PUTRAJAYA | PAS bertegas akan terus mendokong sistem Raja Berperlembagaan dalam kerangka
keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti juga berdiri teguh bersama Perdana Menteri dalam mendokong semua keputusan yang telah diputuskan oleh Kabinet.
“PAS menyeru semua pihak untuk kekal bersatu padu dan mengenepikan politiking dalam menguruskan negara ketika situasi pandemik Covid-19.
“Kestabilan politik serta perpaduan rakyat sangat diperlukan dalam menghadapi ancaman pandemik,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan rasa sangat dukacita dengan kenyataan dibuat di Parlimen bahawa kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat yang telahpun dimasyhurkan.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, sedangkan, pembatalan semua Ordinan Darurat belum mendapat perkenan Seri Paduka.
Katanya, Seri Paduka turut berdukacita kerana pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa 21 Julai lalu yang dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang di dalam Rukun Negara.
Tindakan tersebut katanya, membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka selaku Ketua Negara yang bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri berdasarkan Perkara 40 (1) Perlembagaan Perlembagaan.
Seri Paduka berdukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dipersetujui sebelum ini dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai lalu berhubung cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen, bagi tujuan diungkaikan tidak dilaksanakan.