KUALA LUMPUR | PAS menafikan ada mengeluarkan kenyataan mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan Perdana Menteri hari ini.
Pejabat Presiden PAS dalam satu kenyataan hari ini juga menafikan kesediaan parti itu menamakan Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi pemimpin yang layak menjadi Perdana Menteri.
“Adalah dimaklumkan kenyataan yang sedang tular ini adalah palsu dan tidak berasas.
“Kenyataan rasmi PAS telah dikeluarkan oleh Timbalan Presiden PAS (Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan yang tular di media sosial menyebut, PAS sedia maklum terhadap apa yang berlaku di Dewan Rakyat.
“Makluman untuk semua tindakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dianggap mengelirukan Dewan Rakyat adalah atas arahan Perdana Menteri.
“Justeru PAS berpendapat bahawa Muhyiddin telah hilang kelayakan sebagai Perdana Menteri dan menyeru agar beliau meletakkan jawatan serta-merta,” kata kenyataan yang tular.
Kenyataan tular berkenaan juga menyebut, PAS yakin dengan pengalaman dan ilmu agama yang dimiliki, beliau satu-satunya Ahli Parlimen yang layak menjawat jawatan tersebut.
Kenyataan tersebut tular di media sosial hari ini berikutan suasana politik negara yang semakin hangat apabila Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa sangat dukacita dengan kenyataan dibuat di Parlimen bahawa kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah pun dimasyhurkan.
Dalam masa sama, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan usul hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Dewan Rakyat.
Selain itu, terdapat desakan daripada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Dusuki supaya Perdana Menteri meletakkan jawatan.