KUALA LUMPUR | Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang dibuat kerajaan di Parlimen pada 26 Julai berkenaan pembatalan semua Ordinan Darurat kerana ia belum diperkenankan lagi baginda.
Istana Negara dalam satu kenyataan berkata, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang diperkenankan dan dipersetujui terdahulu dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan.
Kenyataan itu berkata, Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa kenyataan Yang Berhormat Menteri di Parlimen pada 26 Julai 2021 adalah tidak tepat dan telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.
“Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa pada 21 Julai telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen dan kenyataan bercanggah serta mengelirukan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara, malah telah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Seri Paduka Baginda sedia maklum akan perlunya Baginda bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti terkandung dalam Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.
“Namun, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa Baginda selaku Ketua Utama Negara mempunyai kewajipan untuk menyampaikan nasihat dan teguran jika berlaku sebarang tindakan yang tidak berperlembagaan oleh mana-mana pihak, khusunya mereka yang melaksanakan fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Kenyataan itu berkata, Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa Ahli-ahli Parlimen supaya memberi keutamaan kepada kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat serta negara pada sesi sidang Parlimen yang kini sedang berlangsung untuk mencari penyelesaian terhadap pelbagai masalah yang dihadapi rakyat dan negara ketika krisis pandemik COVID-19 ini.
Menurut kenyataan itu, Seri Paduka Baginda menyeru rakyat untuk bersama mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi sebarang musibah dan wabak COVID-19.
Pada masa yang sama Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada pihak Kerajaan di atas pelaksanaan persidangan Parlimen bermula Isnin lalu.