TOKYO | Penganjur Olimpik Tokyo menolak sebarang kaitan terhadap peningkatan kes coronavirus di Jepun, hari ini, selepas melaporkan 24 jangkitan dalam kalangan peserta temasya itu.
Sekurang-kurangnya 193 atlet, petugas media, pekerja serta kontraktor Olimpik positif ujian virus itu, menurut angka direkodkan Tokyo 2020 yang tidak termasuk beberapa kes di lapangan terbang dan kem latihan.
Semalam, Jepun melaporkan 9,583 kes di seluruh negara itu, pertama kali angka berkenaan mencapai 9,000, dengan kes tinggi juga direkodkan di Tokyo.
Jurucakap Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa, Mark Adams berkata bahawa tiada petunjuk mengenai kaitan antara temasya itu dengan peningkatan angka kes berkenaan.
“Setahu saya tiada satu pun kes jangkitan yang tersebar ke penduduk Tokyo dari atlet atau pergerakan Olimpik,” katanya kepada pemberita.
“Kami mempunyai komuniti yang paling banyak diuji, mungkin di mana saja… di dunia, paling utama anda mempunyai beberapa sekatan paling ketat di perkampungan atlet.”
Penganjur juga menegaskan bahawa temasya itu tidak memberikan tekanan tambahan kepada sistem perubatan Jepun, dengan pakar memberikan amaran bahawa peningkatan jumlah kes boleh menyebabkan krisis kesihatan.
Mereka berkata, hanya dua orang yang berkaitan dengan temasya berada di hospital dan separuh daripada mereka yang memerlukan rawatan dijaga oleh pasukan perubatan sendiri.
“Dari 310,000 ujian saringan, kadar positif adalah 0.02 peratus,” tambah Adams.
Daripada jumlah peserta Olimpik yang dilaporkan positif, 109 adalah penduduk Jepun, dan selebihnya datang dari luar negara.
Komen itu hadir susulan kebimbangan yang semakin meningkat di Tokyo dan mengenai peningkatan jangkitan baharu yang cepat didorong oleh varian Delta yang semakin menular. – AFP