GEORGETOWN | Pulau Pinang telah mencapai 51.1 peratus kadar suntikan dos vaksin pertama semalam.
Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya akan melipat gandakan lagi usaha bagi memastikan sasaran populasi dewasa negeri itu mendapat suntikan vaksin lebih awal pada sasaran iaitu September.
“Menerusi mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) Peringkat Negeri Pulau Pinang semalam, sebuah lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega iaitu di SPICE Convention Centre (SPICE CC) akan beroperasi bermula 1 Ogos dengan kapasiti 5,000 dos suntikan sehari.
“Turut diputuskan adalah golongan warga emas sama ada yang telah berdaftar atau sebaliknya menerusi aplikasi MySejahtera dan belum memperoleh sebarang janji temu boleh ‘walk-in’,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, walk-in dibenarkan pada 2 Ogos di PPV Dewan Millenium (Daerah Seberang Perai Utara); PPV SP Arena (Daerah Seberang Perai Tengah), PPV Dewan Serbaguna Jawi (Daerah Seberang Perai Selatan).
Katanya, PPV SPICE CC akan bermula pada 3 Ogos khas kepada mereka yang menetap di Daerah Timur Laut dan Daerah Barat Daya.
“Kerajaan negeri akan terus mengambil pendekatan 3T iaitu saringan (testing), pengesanan kontak (tracing) dan rawatan (treatment) ke arah usaha memutuskan rantaian perebakan COVID-19 di negeri ini.
“Apa yang kita lihat kini termasuk rekod catatan kes tertinggi semalam merupakan hasil saringan massa yang dilaksanakan bukan hanya oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), malah juga daripada Program Penang Saring COVID Percuma dan inisiatif sendiri pihak industri khususnya,” katanya.
Menurutnya, peningkatan kadar saringan meliputi saringan kluster, kontak rapat dan lain-lain ekoran pertambahan kluster-kluster baru yang dilaporkan sepanjang tempoh minggu ini.
“Sehingga jam 12 tengah hari 28 Julai, terdapat 51 kluster aktif dilaporkan iaitu 40 dari sektor perkilangan; tempat kerja (7); institusi pendidikan (2) dan tapak binaan (2). Malah, empat kluster baru yang dilaporkan semalam juga adalah melibatkan sektor perkilangan membabitkan Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS).
“Berlandaskan laporan daripada JKNPP, sebanyak 155 buah kilang telah diarahkan untuk tutup pada tempoh Januari hingga 26 Julai 2021 berbanding tahun lalu,” katanya.