KOTA BHARU | Biarpun kecundang 1-2 kepada PDRM FC namun jurulatih Kelantan FC, Marco Ragini kekal tenang malah tampak seperti dapat menerima hakikat pasukannya hilang mata penuh di Kota Bharu, pada Rabu.
Malah Ragini percaya kelab bimbingannya itu sepatutnya mampu menamatkan permainan dengan kemenangan berdasarkan persembahan agresif dalam separuh masa kedua.
“Saya fikir kami bermain lebih baik dalam separuh masa kedua dan sejujurnya, saya percaya kami boleh mendapatkan tiga mata kerana keyakinan pemain lebih tinggi berbanding babak pertama.
“Saya yakin Kelantan FC boleh menang tetapi lebih penting bagaimana kita faham kesalahan (sepakan penalti buat PDRM FC) itu dan saya positif untuk perlawanan akan datang kerana pemain telah membina keyakinan untuk pasukan ini,” katanya sambil ditemani pembantunya, Rezal Zambery Yahya dalam sidang media pasca perlawanan itu.
Pada pertemuan itu, sepakan penalti disempurnakan kapten PDRM FC, Lazarus Kaimbi pada minit ke-26 dan gol kedua hasil tandukan Bruno Junichi Suzuki tujuh minit sebelum permainan tamat memadamkan jaringan penyamaan ketua pasukan tuan rumah, Mario Arques, pada minit ke-49.
Menurut pengendali import dari San Marino, dia percaya keputusan perlawanan pasti berubah sekiranya percubaan Natanael Siringo Ringo yang terkena tiang menerjah gawang, pada minit ke-74.
“Saya rasa jika Ringo (Natanael) jaringkan gol, sekarang kita akan bercakap benda berbeza, semua orang gembira dan tentu sekali soalan (daripada wartawan) juga berbeza.
“Umumnya, bola sepak adalah berkait citarasa, jika anda bekerja dengan cara betul, okey anda boleh menang, anda adalah terbaik. Sekarang kita bercakap tentang nasib, kami beraksi baik pada babak pertama, separuh masa kedua pula adalah cerita berbeza (tetapi) yang penting adalah keputusan. Ia akan mengubah pandangan pemain, jurulatih dan segala-galanya,” jelas Ragini.
Sementara itu, jurulatih PDRM FC, Wan Rohaimi Wan Ismail memberi kredit kepada pemain di atas usaha keras mereka melakar kemenangan pada pertemuan itu.
Bagaimanapun, pengendali berusia 45 tahun itu masih kurang berpuas hati dengan jentera penyudah pasukannya apabila gagal memanfaatkan peluang di depan pintu gol lawan.
“Balik-balik bila press conference (sidang media) kami cakap benda sama, maknanya kami masih lagi menghadapi masalah sama.
“Kalau anda tengok kami cipta peluang namun ia dikecewakan dengan penyudah lemah. Bagi saya, kami masih tercari-cari fakor untuk bunuh perlawanan, ini yang kita tak ada,” ujarnya.