KUALA LUMPUR | Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun memberi jaminan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat akan disambung semula pada jam 10 pagi, Isnin ini.
Lapor Berita harian, perkara itu dinyatakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas jaminan berkenaan diberikan kepada beliau dan beberapa Ahli Parlimen pembangkang dalam pertemuan bersama Azhar, petang tadi.
“Hari Isnin sepatutnya ada sidang tapi kita curiga kerana kenyataan Timbalan Speaker (Datuk Mohd Rashid Hasnon) bahawa Parlimen ditempohkan tanpa menyebut hari Isnin.
“Jadi, kita bantah pada Speaker dan mahu jaminan yang sidang akan diadakan seperti biasa pada Isnin dan Speaker memberi jaminan sidang akan diadakan pada Isnin, walaupun kita tahu Speaker tidak ada penuh keyakinan tapi sekurang-kurangnya beliau memberi jaminan.
“Jadi, kita beritahu semua Ahli Parlimen supaya hadir pada 10 pagi Isnin, apa pun jadi, (sama ada) nak batal ke, kita tetap akan hadir jam 10 pagi,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Mohd Rashid ketika membuat pemakluman pada jam 5.15 petang tadi, berkata mesyuarat itu ditempohkan sehingga jam 5.30 petang dan seterusnya ditangguhkan sehingga jam 10 pagi, Isnin ini.
Mesyuarat pada hari ini sepatutnya membahaskan penerangan mengenai Pakej-Pakej Bantuan Ekonomi oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pagi tadi, namun akhirnya tertumpu kepada kepada hal berkaitan Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat.
Mengikut Aturan Urusan Mesyuarat, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual memberi penerangan mengenai Pelaksanaan Darurat, Isnin ini, selain Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan akan turut memberi penjelasan berhubung Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat.