KUALA LUMPUR | “Stabil”. Itu pandangan ringkas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berhubung krisis politik negara hari ini.
Pandangan ‘satu patah perkataan’ itu ditulis anak arwah bekas Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini ekoran pergolakan membabitkan kerajaan Perikatan Nasional.
Ungkapan lima abjad tersebut yang dimuat naik di facebook rasmi beliau sejak 15 minit lalu itu mendapat pelbagai kritikan daripada netizen.
Pada ‘posting’ terbabit beliau turut berkongsi kenyataan media daripada Ketua WHIP Kerajaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan juga Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Suasana politik negara yang sedia panas dihangat lagi hari ini apabila Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa sangat dukacita dengan kenyataan dibuat di Parlimen bahawa kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat yang telahpun dimasyhurkan.
Berkait isu sama, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan usul hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Dewan Rakyat selain itu terdapat desakan daripada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Dusuki supaya Perdana Menteri meletakkan jawatan.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, sedangkan, pembatalan semua Ordinan Darurat belum mendapat perkenan Seri Paduka.
Katanya, Seri Paduka turut berdukacita kerana pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa 21 Julai lalu yang dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang di dalam Rukun Negara.
Tindakan tersebut katanya, membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka selaku Ketua Negara yang bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri berdasarkan Perkara 40 (1) Perlembagaan Perlembagaan.
Seri Paduka berdukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dipersetujui sebelum ini dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai lalu berhubung cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen, bagi tujuan diungkaikan tidak dilaksanakan.