TOKYO | Jawatankuasa Olimpik dan Paralimpik Amerika Syarikat (USOPC) mengesahkan atlet lompat bergalah yang juga juara dunia dua kali, Sam Kendricks diketepikan daripada Olimpik Tokyo selepas didapati positif coronavirus.
“Dengan penuh kesedihan, kami mengesahkan Sam Kendricks didapati positif COVID-19 dan tidak akan bertanding pada Sukan Olimpik Tokyo 2020,” kata USOPC menerusi satu kenyataan di Twitter.
Lapor AFP, Kendricks memenangi dua pingat emas berturut-turut di Kejuaraan Dunia 2017 dan 2019 sekali gus menjadi antara pencabar utama di Tokyo selain pemegang rekod dunia dari Sweden, Armand Duplantis.
Atlet berusia 28 tahun yang memenangi pingat gangsa di Olimpik Rio itu kini berada dalam pengasingan.
“Selari dengan protokol dan peraturan tempatan, dia dipindahkan ke hotel untuk menjalani pengasingan dan mendapat sokongan daripada kakitangan USOPC serta Trek dan Padang Amerika Syarikat (USATF).
“Sam adalah atlet yang meraih pelbagai kejayaan sebagai atlet Amerika Syarikat dan kehilangannya pasti dirasai.
Bagi menghormati privasinya, kami tidak boleh memberikan maklumat lanjut buat masa ini.”
Khabar buruk itu hadir hanya dua hari sebelum acara lompat bergalah lelaki membuka tirainya, Sabtu ini.