GOMBAK | Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengagihkan bantuan kepada mereka yang terkesan akibat COVID-19 termasuk kepada Kampung Orang Asli (KOA) dengan jumlah penerima 376 keluarga, semalam.
MAIS menerusi satu kenyataan memaklumkan, sumbangan yang dihulurkan berjumlah RM37,600.
Katanya, bantuan itu disalurkan kepada penerima di sekitar Gombak seramai 277 keluarga, Hulu Langat 79 keluarga dan Hulu Selangor 20 keluarga.
“Antara bantuan termasuk makanan asasi seperti beras, minyak, gula, tepung dan sebagainya.
“KOA yang menerima sumbangan kali ini adalah dari KOA Ulu Kuang 71 penerima, KOA Sungai Buloh 37 penerima dan KOA Batu 12, Gombak 169 penerima,” katanya.
Seorang penerima dari Kampung Orang Asli Batu 12 Gombak, Nor Zalina Jumbai menzahirkan rasa terima kasih kepada MAIS di atas bantuan yang diterimanya.
“Saya berasa gembira dan terharu kepada pihak MAIS dan mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih di atas bantuan yang diberikan,” katanya ketika ditemui di majlis penyerahan bantuan.
Menurutnya, kriteria penerima sumbangan daripada peruntukan fidyah itu adalah bagi membantu mereka yang tergolong sebagai asnaf fakir miskin terutamanya yang terkesan dengan pendemik COVID-19 sehingga terjejas punca pendapatan dan juga tergolong dalam miskin sementara.
Katanya, manakala bagi Orang Asli yang bukan Islam yang terkesan dengan pandemik COVID-19 turut menerima sumbangan daripada peruntukkan Baitulmal MAIS.
“MAIS berharap dengan sumbangan yang diberikan ini dapat meringankan sedikit sebanyak bebanan penerima.
“MAIS juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada Rakan Strategik Fidyah MAIS (RSAFM) yang banyak membantu dalam mengenal pasti mereka yang memerlukan dan mengagihkan bantuan terutamanya di kala Perintah Kawalan Pergerakan ini,” katanya.