KUALA LUMPUR | Terdapat sembilan lagi kes positif COVID-19 yang dikesan di Parlimen sehingga petang semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan kes keseluruhan sebanyak 11 kes positif.
Katanya, sembilan kes itu dikesan melalui kit ujian kendiri RTK Antigen air liur yang dilaksanakan petang semalam.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah dimaklumkan mengenai dua kes baharu positif COVID-19 yang telah hadir ke Parlimen, tengah hari semalam.
“Kes pertama membabitkan seorang petugas yang hadir ke Parlimen pada Isnin sehingga Rabu lalu dan dilaporkan positif COVID-19 semalam selepas melalui ujian pengesahan RT PCR yang dijalankan sendiri di sebuah fasiliti kesihatan kerana beliau mengalami gejala batuk dan selesema.
“Kes kedua dikesan semasa saringan di Parlimen pada pagi 29 Julai menggunakan ujian kendiri RTK Antigen (Ag) air liur kerana beliau mengalami gejala batuk,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, siasatan kes mendapati kedua-dua kes ini tiada kaitan dengan mana-mana kes positif yang dikesan dalam saringan petugas-petugas Parlimen yang dijalankan tiga hari sebelum Sidang Mesyuarat Khas Parlimen bermula.
“Kedua-dua kes ini juga negatif COVID-19 apabila saringan dilakukan ke atas mereka sebelum bertugas di Parlimen.
“Penilaian risiko berdasarkan maklumat siasatan awal serta sejarah pergerakan kes, didapati kedua-dua kes tersebut dikhuatiri telah berada di beberapa lokasi di sekitar Parlimen semasa tempoh Sidang Mesyuarat Khas Parlimen.
“Sehubungan itu, KKM menasihatkan semua yang hadir dan berada di Parlimen bermula pada 26 Julai untuk menjalani ujian saringan pengesanan COVID-19 menggunakan ujian kendiri RTK Ag saliva test kit. Untuk makluman, pasukan kesihatan dari Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) telah digerakkan bagi menjalankan saringan di Parlimen pada 29 Julai dan tamat pada jam 8 malam.
“Sehingga jam 8 malam, seramai 1,183 individu telah menjalani ujian saringan pengesanan COVID-19 menggunakan ujian kendiri RTK Ag saliva test kit.
“Daripada jumlah yang disaring itu, sebanyak sembilan lagi kes dikesan positif COVID-19 menjadikan secara keseluruhan sepuluh kes yang dikesan melalui RTK Ag saliva test kit (1 kes tengah hari, 9 kes petang),” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
“Secara keseluruhan, sebanyak 11 kes positif telah dikesan semalam iaitu 10 melalui RTK Ag saliva test kit dan satu melalui RT PCR,” katanya.