KUALA LUMPUR | Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) membuat keputusan melanjutkan lagi tempoh pembayaran balik pinjaman (moratorium), secara automatik kepada semua Sahabat AIM bermula 1 Ogos hingga 31 Ogos 2021.
Pengerusi Eksekutif AIM, Datuk Seri Lajim Ukin berkata, bagaimanapun, Sahabat AIM yang ingin membuat pembayaran balik pinjaman, masih boleh berbuat demikian.
Menurutnya, mereka boleh membuat pembayaran tanpa tunai (CMCCS atau online banking Akaun Kutipan AIM) sepanjang tempoh moratorium ini dan pembayaran tersebut sekali gus akan diguna untuk pengurangan baki pinjaman atau pembayaranawal.
“Dengan penangguhan ini, AIM telah memberi moratorium selama 12 minggu atau tiga bulan bermula dari tarikh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berkuatkuasa secara penuh iaitu pada 1 Jun 2021 lalu.
“la membabitkan nilai sebanyak RM577.3 juta iaitu RM192.4 juta sebulan, yang memberi manfaat kepada seramai 378,507 Sahabat di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, selain moratorium, semua Mesyuarat Pusat (MP) di seluruh negara juga ditangguh sehingga tarikh yang sama.
Tambahnya, AIM akan mengeluarkan pekeliling MP yang baharu untuk dilaksanakan dengan mengambil kira norma baharu bagi mengelakkan penyebaran COVID-19 serta menjaga kesejahteraan Sahabat-Sahabat dan kakitangan AIM.
“Sahabat AlM juga boleh memohon untuk pengurangan baki pinjaman atau pembayaran awal pinjaman sekali gus ini, apabila MP dibuka semula bagi setiap pembayaran yang dibuat di sepanjang tempoh moratorium.
“Bagi Kutipan TKKS pula, bagi tempoh setengah tahun kedua 2021, ia akan dibuat apabila MP dibuka semula,” katanya.
Sementara itu, bagi Sahabat yang mencarum untuk setengah tahun pertama 2021, akan kekal dilindungi dan akan menerima manfaat seperti biasa jika berlaku kecelakaan atau bencana sepanjang tempoh moratorium berkuatkuasa.
Pada masa yang sama, AlM juga akan menutup operasi di semua cawangan seluruh Malaysia bagi tempoh yang sama dan turut membabitkan Pusat Latihan AIM di Taiping, Perak,di Sabah dan Sarawak.
Bagi Pejabat Wilayah dan lbu Pejabat, akan kekal beroperasi mengikut peraturan-peraturan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara.
Katanya, kesemua keputusan itu dibuat memandangkan keadaan Pandemik COVID-19 yang masih belum reda dan atas keperihatinan kami terhadap kepayahan dan kesukaran dialami Sahabat-Sahabat AlM yang terkesan teruk akibat pandemik ini.
Selain itu, katanya, Sahabat juga diminta sentiasa berhubung dengan Pegawai-Pegawai Amanah di blok masing-masing untuk sebarang maklumat yang
tepat selain melayari laman sesawang AIM dan facebook rasmi AIM untuk mengikuti pelbagai kursus dan bengkel diadakan secara online terutamanya bagi meningkatkan pengetahuan dalam bidang pemasaran dan perniagaan bersesuaian dengan keadaan semasa.
“Sahabat juga dinasihatkan mendaftar dengan mySejahtera untuk mendapatkan vaksin COVID-19 yang sedang giat dilaksanakan di seluruh Negara untuk kebaikan bersama,” katanya.