KOTA BHARU | Ketika mana Tan Sri Muhyiddin Yassin dihujani desakan supaya meletakkan jawatan, BERSATU Bahagian Kota Bharu menyatakan pendirian berdiri teguh bersama kepimpinan Perdana Menteri itu.
Ketua Bahagian BERSATU Kota Bharu, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah kepimpinan Presiden BERSATU itu tidak pernah berbelah bahagi sejak beliau meneraju tampuk kepimpinan negara.
“BERSATU Bahagian Kota Bharu berdiri teguh bersama Perdana Menteri…dan menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada PN di bawah kepimpinan Presiden BERSATU,” katanya dalam kenyataan menerusi facebook miliknya malam tadi.
Suasana politik negara menjadi panas apabila Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa sangat dukacita dengan kenyataan dibuat di Parlimen bahawa kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat yang telahpun dimasyhurkan.
Berikutan itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil kesempatan mengemukakan usul hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri kepada Dewan Rakyat.
Mengulas lanjut, Datuk Mohamed Farid yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU menyifatkan desakan-desakan yang dibuat oleh pembangkang hanya retorik politik semata dan menangguk di air keruh.
“Kita harus pulang ke pangkal jalan bilamana ramai Ahli Parlimen pembangkang sudah tersasar. Tiada yang lebih penting sekarang daripada kesatuan usaha semua Ahli Parlimen untuk menangani pandemik Covid-19 dan membela nasib rakyat. Ini seolah ditenggelami oleh kepentingan peribadi berpolitik.
Bagaimanapun, berdasarkan kenyataan Ketua WHIP Kerajaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, kerajaan masih mendapat sokongan lebih 110 daripada 222 Anggota Parlimen.