KOTA MELAKA | BERSATU Melaka akan terus menghormati, menjunjung dan memelihara sistem Raja Berperlembagaan, keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang negara.
Dalam masa sama, Ketua Badan Pimpinan BERSATU Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, pihaknya teguh menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus mengemudi Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“BERSATU Melaka menyeru semua pimpinan dan parti politik untuk mengetepikan kepentingan politik masing-masing, bersatu hati dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada segala usaha menangani pandemik COVID-19.
“Rakyat Malaysia menuntut semua pihak memberi keutamaan kepada isu kesihatan, kebajikan dan pemulihan ekonomi rakyat dan negara berbanding perebutan kuasa dan agenda peribadi masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kestabilan politik amat signifikan bagi menjayakan Pelan Pemulihan Negara yang direncanakan oleh pihak kerajaan.
Suasana politik tanah air negara menjadi perhatian apabila Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa sangat dukacita dengan kenyataan dibuat di Parlimen bahawa kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat yang telahpun dimasyhurkan.
Semalam juga, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan usul hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri kepada Dewan Rakyat.