By Nor Shazleza Shahril
KUALA LUMPUR | Gabungan Parti Sarawak (GPS) mendukung penuh sistem Raja Berpelembagaan yang diamalkan di negara ini.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, gabungan empat parti yang mentadbir Sarawak itu berharap kemelut politik yang melanda negara ketika ini akan segera berakhir.
Katanya, dalam keadaan negara berdepan krisis pandemik COVID-19 dan berusaha memulihkan
ekonomi negara, kestabilan politik amat diperlukan.
“Kita perlu fokus ke arah menjayakan Pelan Pemulihan Negara demi kesejahteraan dan kesihatan rakyat serta pemulihan ekonomi.
“Sama-sama kita berdoa agar kemelut politik yang melanda negara berakhir segera dan negara segera bebas daripada pandemik COVID-19,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.
Kenyataan itu merujuk situasi semasa politik negara susulan isu pembatalan Ordinan Darurat di Parlimen yang belum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Istana Negara dalam satu kenyataannya semalam, memaklumkan Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan kerajaan berhubung pembatalan Ordinan Darurat dan menegaskan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Parlimen pada 26 Julai lalu adalah tidak tepat dan mengelirukan dewan.