KUALA LUMPUR | Pemuda Perikatan Nasional (PN) yakin semua tindakan yang diambil Kerajaan Malaysia berkenaan isu darurat adalah teratur dan selaras dengan peruntukan Undang-Undang dan Perlembagaan Persekutuan.
“Oleh yang demikian, Pemuda Perikatan Nasional menyokong penuh YAB Perdana Menteri dan Jemaah Menteri untuk terus menjalankan tugas dan tanggungjawab mentadbir dan mengurus negara ini,” katanya dalam satu kenyataan bersama hari ini.
Dalam perkembangan sama kenyataan tersebut juga menyebut Pemuda PN sentiasa menjunjung tinggi kedaulatan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.
Pemuda PN, hari ini juga menyatakan ketegasan menjunjung prinsip tidak akan membelakangkan Perlembagaan, Undang-Undang mahupun kepentingan dan kesejahteraan rakyat.
“Pemuda Perikatan Nasional merafak sembah menjunjung kasih di atas kenyataan Yang di-Pertuan Agong melalui Istana Negara pada semalam, 30 Julai 2021,” katanya.
Dalam masa sama, Pemuda PN juga merakamkan ucapan terima kasih kepada semua ahli gabungan kerajaan Perikatan Nasional yang teguh bersama dengan Perdana Menteri dengan membentuk blok majoriti bagi meneruskan agenda Program Pemulihan Negara (PPN).
“Pemuda PN akan terus menjalankan tanggungjawab untuk menjadi elemen semak imbang dan mengajak semua pihak untuk menumpukan sepenuh tenaga dan perhatian ke arah Imuniti Kelompok melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),” katanya.
Kenyataan bersama tersebut daripada Ketua Pemuda Perikatan Nasional, Senator Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin; Ketua ARMADA BERSATU Nasional, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; Ketua Pemuda STAR, Rizal Johari, Ketua Pemuda SAPP, Jamain Sarudin dan Pemangku Ketua Pemuda GERAKAN Pusat, Wong Chia Zhen.