GEORGETOWN | Seorang nelayan tempatan menemui mayat seorang lelaki terapung dipercayai terjun dari jambatan Pulau Pinang.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam.
Katanya, aduan tersebut dibuat menerusi Maritme Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi mengesyaki terdapat individu yang dipercayai terjun dari jambatan pertama Pulau Pinang.
“Bertindak atas maklumat tersebut, bot ronda Maritim Malaysia telah diatur gerak bersama bot agensi sahabat Pasukan Polis Marin (PPM) ke lokasi kejadian.
“Berikutan lokasi penemuan mangsa di kawasan berbatu, bot ronda Maritim Malaysia tidak dapat menghampiri mangsa dan bantuan dari bot Polis Marin telah digunakan untuk mengambil mayat mangsa tersebut dan telah dibawa ke jeti PPM Batu Uban,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, maklumat penuh mangsa sehingga kini belum diperoleh dan sebuah motosikal jenis Kawasaki Z1000 nombor pendaftaran WTJ 4481 ditemui berada di lokasi di atas jambatan dipercayai milik mangsa tersebut.
Katanya, kes akan diserahkan kepada pegawai penyiasat Balai Polis Perai untuk tindakan lanjut.
“Orang awam diminta agar melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146,” katanya.