KUALA LUMPUR | Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menafikan penularan kejadian tsunami di Perairan Sabah.
METMalaysia menerusi satu kenyataan memaklumkan, pihaknya telah mendapat maklumat berkenaan penularan mesej mengenai kejadian tsunami boleh melanda perairan Malaysia umumnya dan perairan Sabah khususnya.
Katanya, mesej tular itu mendakwa ia disebabkan oleh kejadian gempa bumi bermagnitud 7.5 skala Richter telah berlaku di Semenanjung Alaska pada jam 2.15 petang semalam.
“Mesej tular itu tersebar melalui sebuah laman sesawang yang memaparkan maklumat amaran tsunami tersebut yang dikeluarkan oleh agensi luar negara.
“METMalaysia menafikan kejadian tersebut berlaku di Sabah di mana tempoh kejadian gempa bumi kuat itu sudah melebihi tempoh 12 jam dan tiada ombak tsunami yang dikesan oleh peralatan pemantauan ombak tsunami sehingga kini.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk lebih berhati-hati dalam menyebabkan sebarang maklumat atau video berkenaan kejadian gempa atau tsunami,” katanya di sini, hari ini.
Untuk mendapatkan maklumat gempa atau tsunami, orang ramai boleh melayari laman web Jabatan Meteorologi Malaysia iaitu www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi MET Malaysia serta hotline di talian 1-300-22-1638.