BANGI | Penyelidik di Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mencipta teknologi untuk merawat sisa akhir efluen kelapa sawit (POME) dengan menggunakan biojisim tempurung kelapa sawit.
Ketua Pengarah MPOB, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, penyelidik yang diketuai Dr Nahrul Hayawin Zainal, mencipta teknologi yang dikenali Karbon Teraktif Tempurung Kelapa Sawit untuk Rawatan Sisa Air.
Menurutnya, ia adalah penyatuan proses biologi dengan karbon teraktif untuk merawat sisa akhir efluen kelapa sawit (rawatan tertiari) sebelum dilepaskan ke persekitaran.
“Biojisim tempurung kelapa sawit digunakan sebagai sumber untuk penghasilan karbon teraktif kerana mempunyai ciri-ciri ketumpatan dan karbon yang tinggi serta kandungan abu yang rendah.
“Oleh kerana biojisim tempurung kelapa sawit dihasilkan dengan banyak di kilang kelapa sawit, maka kos pengeluaran untuk teknologi ini adalah rendah jika dihasilkan oleh kilang sawit. Prototaip teknologi ini telah diuji di lapangan dan terbukti berkesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, penyelidik MPOB mula menjalankan kajian pada tahun 2019 sebelum melancarkan teknologi tersebut di Seminar dan Pameran Pemindahan Teknologi (TOT) MPOB 2021 baru-baru ini.
Malah, menurutnya, bahan buangan POME mengandungi campuran air sisa minyak, zarah tanah dan pepejal terampai yang berwarna coklat kehitaman.
“Kilang-kilang kelapa sawit perlu merawat POME untuk pemuliharaan alam sekitar dan mematuhi peraturan ketat oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS), dan syarat pelesenan MPOB,” katanya.
Dr Ahmad Parveez berkata, teknologi untuk merawat POME adalah mesra alam kerana tiada bahan kimia yang digunakan semasa proses rawatan sebaliknya pengaktifan secara stim digunakan bagi penghasilan karbon teraktif, dan mikrob yang berkesan ketika proses biologi semasa rawatan tertiari.
“Pembuangan akhir sisa efluen POME yang dirawat dapat digunakan sebagai air kitar semula, dan karbon teraktif yang telah digunakan boleh dijadikan sebagai baja organik untuk tanaman sayur-sayuran.
“Kajian mendapati baja organik ini kaya dengan unsur-unsur nitrogen, fosforus, dan kalium hasil dari penjerapan sisa akhir efluen POME.
“Teknologi ini sangat lestari dalam aspek ekonomi, proses dan persekitaran,” katanya.
Tamat