WASHINGTON | Pembunuhan juruterbang jet pejuang meningkatkan kebimbangan Tentera Udara Afghanistan (AAF) susulan ia makin kerap berlaku ketika lonjakan pertempuran.
Lapor Agensi, Badan pemerhati Amerika Syarikat (AS), dalam laporan yang dikeluarkan semalam, mendakwa sekurang-kurangnya tujuh juruterbang dibunuh di luar pangkalan tentera sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Difahamkan, ia adalah operasi didalangi pemberontak Taliban menerusi kempen ‘sasar dan hapuskan’ juruterbang yang dilatih oleh AS, sekali gus mengurangkan kekuatan serangan udara tentera Afghanistan.
Ketika AS bersedia untuk menamatkan sepenuhnya misi ketenteraan di Afghanistan pada 31 Ogos ini, pemberontak Taliban mengambil tindakan pantas merampas wilayah yang pernah dikuasai Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani.
Ini menimbulkan kebimbangan kemungkinan Taliban akan cuba menguasai bandar raya Kabul dan seterusnya membawa negara itu kembali kepada pentadbiran berlandaskan undang-undang Islam yang tegas.
Ketua Pemeriksa Khas untuk Pembangunan Semula Afghanistan (SIGAR), dalam laporan suku tahunannya kepada Kongres AS, berkata AAF semakin tertekan dalam menghadapi serangan Taliban.
“Laporan merangkumi tempoh tiga bulan sehingga Jun ini secara amnya menggambarkan AAF kurang bersedia untuk memerangi Taliban terutama selepas pengunduran sepenuhnya tentera AS.
“Helikopter jenis UH-60 Black Hawk milik AAF misalnya mempunyai kadar kesediaan sebanyak 39 peratus pada Jun, kira-kira separuh berbanding tahap pada tahap April dan Mei.
“Semua pesawat udara Afghanistan terbang sekurang-kurangnya 25 peratus daripada sela masa penyelenggaraan berjadual yang disyorkan,” lapor SIGAR.
Menurut laporan sama, perkembangan lain yang membimbangkan mengenai pesawat udara AAF adalah laporan bahawa Taliban sengaja menyasarkan juruterbang jet pejuang Afghanistan.