PUTRAJAYA | Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelanjutan Kuat Kuasa) (No. 2) 2021 [P.U. (A) 313/2021] bertarikh 21 Julai lalu adalah berbeza dengan Proklamasi Darurat yang dikuatkuasakan bermula 11 Januari hingga 1 Ogos ini.
Lapor Berita Harian, Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan hari ini menjelaskan bahawa perintah berkenaan bertujuan melanjutkan pengisytiharan kawasan tempatan jangkitan, yang pada awalnya mula berkuat kuasa pada 18 Mac 2020 dan dilanjutkan bagi tempoh 2 Ogos hingga ke 31 Disember ini.
Ia dibuat mengikut subseksyen 11(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang memberi kuasa kepada Menteri Kesihatan untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan sebagai kawasan tempatan jangkitan.
Bagaimanapun, kenyataan itu menyebut, berlaku kekeliruan antara Perintah itu dengan Proklamasi Darurat.Sebelum ini, kuat kuasa perintah ini dilanjutkan bagi tempoh 1 April 2021 hingga 1 Ogos 2021.
Perintah ini menetapkan bahawa semua Negeri dan Wilayah Persekutuan di Malaysia sebagai kawasan tempatan jangkitan.
Dengan berkuat kuasanya Perintah ini, pelaksanaan undang-undang boleh diambil melalui arahan pegawai diberi kuasa untuk mencegah dan mengawal penyakit berjangkit.
Selain itu, Perintah ini juga berkuat kuasa bersama dengan peraturan-peraturan yang dibuat mengikut subseksyen 11(2) untuk membolehkan Kerajaan menguatkuasakan, antaranya Arahan Ketua Pengarah dan Peraturan-Peraturan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Pada masa sama, kenyataan itu menyebut, Proklamasi Darurat pula dibuat bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan suatu darurat besar sedang berlaku di seluruh Malaysia mulai 11 Januari 2021 hingga 1 Ogos 2021.
Atas alasan itu, kata kenyataan itu, sebarang pembatalan Ordinan Darurat yang dibuat ketika darurat tidak akan menjejaskan perjalanan Akta 342 sedia ada untuk mencegah dan mengawal penyakit berjangkit.
“Perintah ini mahupun Proklamasi Darurat diwartakan dan menjadi dokumen awam yang boleh diakses melalui portal Jabatan Peguam Negara (AGC),” kata KKM dalam kenyataan itu.
Berikutan itu, menurut KKM, semua pihak diminta agar tidak membuat tafsiran yang tersendiri dan tidak tepat mengenai Perintah itu bagi mengelak salah faham dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.