By Nor Shazleza Shahril
KUALA LUMPUR | Sebanyak 23 lokaliti di Sabah dan Pahang akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Ahad ini sehingga 14 Ogos.
Menteri Kanan Luar Negeri (Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, PKPD itu membabitkan 22 lokaliti di Sabah dan satu lokaliti di Pahang.
Katanya, enam lokaliti dikenakan PKPD di Tawau, Sabah adalah Bandar Sabindo, Kampung Rancangan Sungai Tongkang, Taman Kukusan, Batu 2 Lorong Habib Abdul Rahman Jalan Apas, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Semarak dan Taman Berjaya.
“Di Keningau, lima lokaliti dikenakan PKPD iaitu Kampung Bariawa Laut, Kampung Baitah, Kampung Panagatan Ulu, Kampung Kota Ayangan dan Rumah Kongsi Jutaya Lingkudau,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, tiga lokaliti dikenakan PKPD di Kudat ialah Kampung Seri Aman, Taman Orkid dan Kampung Damaran Banggi.
“Tiga lokaliti dikenakan PKPD di Sandakan iaitu Kampung Lupak Meluas Darat, Kampung Sundang Laut dan Flat Taman Sejati, manakala dua lokaliti di Kota Kinabalu pula adalah Taman Sempelang, Sembulan serta Kampung Sembulan Tengah dan Lama.
“PKPD juga dilaksanakan di Kampung Tempasuk, Kota Belud; Kampung Tengah Padang, Putatan; Kampung Babagon, Penampang dan Kampung Tanjung Kerayong, Mentakab, Temerloh, Pahang.
“PKPD juga akan dilaksanakan di lokaliti di Kuantan iaitu Taman Tas dan Pandan; Taman Indera Sempurna dan Taman Impianku serta satu lokaliti di Kota Belud iaitu Kampung Siansai Dundau pula dilanjutkan PKPD dari Ahad ini hingga 13 Ogos nanti,” katanya.