KOTA BHARU | Prihatin dan cakna dengan nasib kumpulan yang terkesan dengan pandemik COVID-19, hari ini Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperuntukkan 700 kotak barangan keperluan harian untuk diagihkan kepada asnaf di 14 parlimen di Kelantan.
Pengurus Besar PTPTN Kelantan, Mohd Azrul Akmal Mamat berkata, sumbangan berkenaan
merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi Program PTPTN Prihatin.
Menurutnya, sebanyak 50 kotak akan diberikan kepada setiap bahagian yang mana penerima akan ditentukan oleh bahagian tersebut.
“Sumbangan bakul makanan itu dibuat sebagai menzahirkan keprihatinan PTPTN terhadap golongan asnaf yang terkesan dengan penularan pandemik COVID-19 yang sedang melanda negara.
“Diharapkan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat menggembirakan dan meringankan beban mereka yang terkesan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu beliau menyerahkan 50 kotak kotak barangan keperluan harian kepada Pengerusi Biro Warga Pendidikan BERSATU Bahagian Kota Bharu, Ahmad Rozman Ismail, hari ini.
“Kotak barangan keperluan harian ini akan diedarkan kepada 14 kawasan Parlimen di Kelantan.
Sementara itu, Ahmad Rozman berkata kotak barangan keperluan itu akan diedarkan kepada 10 pelajar di lima sekolah sekitar Kota Bharu.
Ia membabitkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pintu Geng, SMK Sultan Ismail, SMK Kota Bharu, SMK Tanjong Mas dan SMK Kota.
PTPTN sentiasa mendengar keluh resah serta kesusahan dialami masyarakat berikutan pandemik COVID-19.
Sebanyak RM300,000 diperuntukkan untuk membantu golongan sasar, terutama asnaf, menerusi program PTPTN Prihatin di seluruh negara.