By Nik Amir
KOTA BHARU | Satu lagi ujian getir menanti Kelantan FC apabila bakal bertemu Terengganu FC (TFC) II dalam saingan Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, pada petang Sabtu.
Ketua Jurulatih, Marco Ragini mengakui pertembungan dua kelab Pantai Timur itu menjanjikan aksi sukar buat mereka memandangkan prestasi TFC II cukup konsisten sepanjang musim ini.
“Sejujurnya, bagi saya perlawanan ini sangat-sangat sukar buat kami kerana TFC II merupakan sebuah pasukan terbaik dalam liga ketika ini.
“Sehingga sekarang pasukan ini beraksi cukup bagus dalam liga, (dan) kita akan tengok apa yang akan berlaku pada Sabtu (esok),” katanya kepada Journal Malaysia hari ini.
Pada aksi pusingan pertama di Kuala Terengganu, Mac lalu, kedua-dua pasukan bagaimanapun sekadar berkongsi mata setelah terikat seri tanpa jaringan.
TFC II yang dibimbing Badrul Afzan Razali unggul menduduki posisi ketiga dengan 22 mata di belakang pendahulu liga, Sarawak United FC (24 mata) dan Negeri Sembilan (23 mata) jauh meninggalkan Kelantan FC di tangga keenam dengan mengutip 18 mata.
Kelab pembangunan Terengganu itu muncul satu-satunya pasukan tidak pernah tewas selain merekodkan jaringan terbanyak iaitu 25 gol selepas mengharungi 12 perlawanan liga, setakat ini.
Pengendali berusia 54 tahun itu menegaskan, tiada pilihan buat Kelantan FC selain menuntut barisan pemain bangkit mempamerkan aksi terbilang sekiranya tidak mahu dikecewakan kali kedua di laman sendiri, sepanjang minggu ini.
“Kami kena lebih menguasai permainan sekiranya mahu meningkat prestasi dan mendapatkan mata penuh pada pertemuan ini. Tiada jalan mudah lebih-lebih lagi bertemu pasukan seperti TFC II ini.
“Kami kena cas semula bateri (mengembalikan kekuatan fizikal) tetap saya fikir apa yang lebih penting adalah menguatkan mental pemain kerana saya rasa mereka sedikit terkesan dengan kekalahan lalu (tewas 0-1 kepada PDRM FC,” ujarnya.
Sementara itu, Ragini membayangkan kemungkinan besar dia tidak dapat menyenarai penyerang import, Jack Hindle susulan kecederaan serius dialaminya untuk menghadapi TFC II.
“Saya rasa dia okey sekarang selepas mendapat konsultasi pertama daripada pegawai perubatan, (tetapi) mungkin perlu melakukan pembedahan. Kami belum semak lagi, tunggu selepas pemeriksaan kedua baru tahu kondisinya,” jelasnya lagi.