CHERAS | Bagi persiapan berdepan kes COVID-19 yang semakin meningkat di Lembah Klang, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menambah 200 katil untuk kategori 4 dan 5 di Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (HPKK UKM) di sini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba melawat ke HPKK UKM yang kini dalam proses persiapan.
Katanya, sejumlah 200 katil disediakan untuk merawat pesakit kategori 4 dan kategori 5 COVID-19 di sana.
“Buat masa ini, HPKK UKM mempunyai kapasiti sedia ada 80 katil kritikal dan unit rawatan rapi (ICU).
“Penambahan katil ini adalah sebahagian daripada langkah kesiapsiagaan KKM bersama dengan Kementerian Pengajian Tinggi dalam menghadapi pandemik COVID-19 di kawasan Lembah Klang,” katanya menerusi laman Facebooknya di sini.
Dr Adham melawat HPKK UKM untuk melihat sendiri persiapan logistik yang dibuat oleh petugas barisan hadapan di sana untuk menempatkan pesakit COVID-19 kategori 4 dan kategori 5.
Terdahulu, Dr Adham membuat lawatan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.