KOTA BHARU | Tiada kepentingan dan tidak releven untuk pembangkang membahaskan mahu pun mempersoalkan mengenai penamatan Darurat kerana kerajaan sudah menetapkan Proklamasi Darurat akan tamat 1 Ogos ini.
Proklamasi Darurat akan tamat pada 1 Ogos, setelah Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan perkara itu pada 12 Januari lalu.
Menegaskan perkara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, untuk itu tidak ada kepentingan membahaskan soal penamatan Darurat.
“Apa jua perbahasan mengenai darurat tidak lagi releven ataupun mencapai apa-apa matlamat dan sememangnya rakyat ada yang sudah tahu mengenai perkara tersebut, namun pemimpin pembangkang dilihat cuba menjadi juara rakyat dengan membawa isu tersebut ke dewan rakyat.
“Proklamasi Darurat bukanlah keputusan popular yang dibuat kerajaan, namun ia keputusan yang perlu dilaksanakan bagi menangani masalah pandemik Covid-19 yang begitu serius,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Datuk Mohamed Farid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perjalanan Sidang Khas Parlimen yang bermula 26 Julai lalu.
Beliau berkata, keputusan kerajaan mengenai pelaksanaan Darurat sebelum ini adalah keputusan tepat pada situasi dan keadaan negara ketika itu.
“Kita tidak boleh bandingkan situasi sekarang dengan situasi semasa Darurat diisytiharkan kerana “it was the right decision at the right time” ketika itu.
“Sekiranya Darurat tidak dilaksanakan kita tidak tahu bagaimana kedudukan negara kita sekarang,” katanya.
Jelas beliau, tidak dinafikan mungkin ada kelemahan dalam usaha menangani wabak COVID-19, tetapi pada waktu tersebut kerajaan perlu bertindak pantas.
Katanya, kerajaan perlu fleksibel supaya penyampaian secara optimum dapat dilaksanakan.
“Sekiranya semua pergerakan perlu kelulusan Parlimen, pastinya tindakan kerajaan dalam menangani pandemik COVID-19 menjadi sangat terhad.
“Kita sendiri lihat betapa Sidang Parlimen tidak lebih dari situasi hari pertama kanak-kanak masuk tadika.
“Ahli Parlimen Pembangkang bertindak kebudak-budakan tanpa etika dan tidak boleh diajak berbincang. Bagaimana bajet vaksin boleh diluluskan secara teratur dan cepat, kalau begitu keadaannya?”, soalnya.
Beliau berkata, negara sebenarnya agak lambat menerima vaksin daripada negara pembekal dan kelewatan itu sentiasa ‘diratib’ oleh pihak pembangkang.
Katanya, ketika ini Proklamasi Darurat menjadi penting kerana jika kerajaan lambat bertindak dan perlukan kelulusan Parlimen untuk mendapatkan vaksin, pastinya kadar jangkitan dan kematian akan lebih tinggi.
“Kini apabila Kerajaan bersetuju supaya Darurat ditamatkan, pembangkang masih berteriak, berdemo mempersoalkan kenapa darurat ditamatkan.
“Ini semua hanya retorik politik dengan aroma kepentingan peribadi yang kental. Seperti yang disebut oleh Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan beberapa hari yang lepas, pembangkang telah membuktikan bahawa mereka sebenarnya tiada idea baru untuk diketengahkan, “Pembangkang bankrap idea” dan tiada upaya untuk berfikir secara waras.
“Semua tindakan mereka bersifat reaktif, provokatif dan tanpa rasional dan ia ditunjukkan dalam Sidang Khas Parlimen baru-baru ini,” katanya.