KUALA LUMPUR | Kerajaan Arab Saudi menghantar tiga kapal terbang yang penuh dengan bantuan peralatan perubatan untuk Malaysia.
Menteri Kanan Luar Negeri (Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, baru lima hari lepas penjaga dua masjid suci, Raja Salman Abdulaziz Al Saud menitahkan supaya bantuan COVID-19 dihantar ke Malaysia.
Katanya, bantuan itu telah tiba di tanah air menerusi dua buah pesawat semalam, manakala sebuah lagi akan tiba hari ini.
“Alhamdulillah.Tiga pesawat Saudia Airlines dihantar Kerajaan Arab Saudi untuk sampaikan sumbangan ini.
“Insya-Allah, tengah hari nanti saya akan secara simbolik menerima sumbangan ini dan perincian jumlahnya daripada Duta Arab Saudi,”katanya menerusi laman Facebook di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, kerajaan Arab Saudi bersetuju menyalurkan sumbangan kepada Malaysia, bagi membantu negara ini dalam usaha memerangi penularan pandemik COVID-19 yang semakin meruncing.
Bantuan daripada Arab Saudi itu antara lain, termasuk sumbangan dalam bentuk satu juta dos vaksin COVID-19 kepada Malaysia.