KUALA LUMPUR | Ucapan merafak sembah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong daripada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Perlimen dan Undang-Undang) menjadi tumpuan warnanet hari ini.
Posting sembah tahniah daripada Datuk Seri Takiyuddin Hassan menerusi facebooknya tiga jam lalu yang berkongsi ucapan ‘Daulat Tuanku’ sempena Keputeraan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke 62, mendapat 2.6k tanda suka, gembira 429 dan ‘love’ 181 manakala marah pula sebanyak 30.
Ucapan berkenaan menjadi perhatian selepas 24 jam Sidang Khas Parlimen berakhir yang berlangsung dalam suasana hangat menyentuh isu Ordinan Darurat.
“DAULAT TUANKU… Merafak sembah menyembahkan ucapan setinggi-tinggi tahniah sempena memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan yang ke-62, Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada 30 Julai 2021.
“Patik mendoakan dilanjutkan usia, harmoni sejahtera Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj. Ampun Tuanku,” tulis Ahli Parlimen Kota Bharu itu.
Tinjauan Journal Malaysia di ruangan komen juga terdapat ucapan kata-kata semangat dan pujian diberikan kepada Takiyuddin selain kecaman.
Tulis seorang warga maya yang menggunakan nama Mohd Nuri Mat Yaakub “Ambo ucap tahniah kepada kekanda Dato Taki SUA yang telah berjaya mematikan langkah pembangkang untuk menjatuhkan Kerajaan dengan membuat pengumuman berani mati mengenai keputusan kabinet berkaitan proklamasi darurat dan ordinan darurat… Tahniah sekali lagi,” tulisnya.
Sementara itu, tulis seorang warganet, Azhari Ibrahim, “Masyarakat Malaysia yang celik mata hati sangat yakin bahawa apa yang sedang berlaku terhadap Dato’ sekarang adalah satu ujian dan mehnah yang bakal memantapkan lagi keutuhan jiwa Dato’ dalam berperanan sebagai pemimpin ummah yang matang, hebat dan berwibawa,” katanya.
Tulis ARieda Akhtar U’waisyah pula, “Pas adalah parti yang berprinsip dan menghormati institusi Raja.Jika terkhilaf perbetulkankah.Jangan dan elakkan dari jadi benteng kepada kesilapan,kesalahan dan kebebalan orang lain…YB juga mewakili dan membawa imej Parti, sebarang tindakan perlu dikawal parti. Semoga YB terus sukses hendaknya,” katanya.