By Nor Shazleza Shahril
KUALA LUMPUR | Jumlah vaksinasi naik, beban kapasiti kesihatan awam menurun.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menerusi laman Facebooknya memaklumkan contoh terbaik adalah Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak.
Katanya, penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) di Labuan dan Sarawak menurun selaras dengan peningkatan jumlah vaksinasi.
“Inilah adalah antara contoh terbaik kepentingan vaksinasi untuk rakyat Malaysia dan sokongan terhadap kapasiti kesihatan awam yang berterusan oleh Kerajaan.
“Data juga menunjukkan bahawa sebilangan besar individu yang dijangkiti COVID-19 selepas vaksinasi lengkap tidak menunjukkan gejala serius atau hanya bergejala ringan (kategori 1 dan 2),” katanya.
Menurutnya, di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN), antara indikator yang membenarkan peralihan sesebuah negeri dari Fasa 2 ke Fasa 3 adalah dengan mencapai kadar vaksinasi lengkap 40 peratus populasi dewasa dan kadar penggunaan katil ICU yang sederhana.
“Setakat ini lapan negeri telah beralih ke Fasa 2. Saya berharap, dengan trend peningkatan vaksinasi, lebih banyak negeri akan berjaya beralih ke Fasa 2 dan seterusnya Fasa 3 dalam sedikit masa lagi, Insya-Allah,” katanya.