KUALA LUMPUR | Pemain badminton perseorangan negara, Hang Lee Zii Jia meluahkan kesedihan dan kekecewaan setelah ditewaskan idola, Chen Long pada aksi di Olimpik Tokyo 2020 semalam.
“Wahai Olimpik yang pertama, saya Hang Lee Zii Jia terpaksa akur setakat ini saja. Sedih, sayu, kecewa, hampa….. seribu perasaan yang tidak terkata.
“Walaupun saya berazam ingin mempamerkan satu aksi yang boleh memberi sedikit harapan kepada seluruh Malaysia yang sedang bertungkus lumus mengharungi pandemik Covid-19 tetapi masih tidak kesampaian niat saya.
“Walaupun saya ingin nyatakan “Hidupku BUKAN hanya MIMPI” tapi kesalnya saya gagal lakukanya,” tulis Juara Seluruh England 2021 menerusi facebook peribadinya hari ini.
Pemain nombor satu negara, Lee Zii Jia gagal melangkah ke suku akhir Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas tewas kepada pemenang pingat emas Rio 2016 dari China, Chen Long di pusingan kalah mati.

Dalam aksi di Musashino Forest Sport Plaza itu menyaksikan pemain berusia 23 tahun itu mengalami kecederaan di bahagian pergelangan tangan kanan pada awal permainan ketika menyambut bulu tangkis daripada Chen Long.
Dalam pada itu, pemain kelahiran Alor Setar berkata, sebagai seorang atlet, beliau harus belajar melalui kegagalan dan berusaha menghadapi cabaran dan dugaan yang ditempuhi.
“Kekalahan menunjukkan saya belum cukup kuat dan mantap lagi.
“Ayuh! Saya harus bangkit semula, rajin, tekal dan tabah berlatih untuk meneruskan perjuangan saya agar dapat membawa lagu Negaraku bergemar di podium satu hari nanti,” katanya.
Beliau juga turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi kata-kata semangat dan sokongan padu kepadanya.
“Terima kasih kepada pihak penganjur Tokyo Olimpik yang berjaya melangsungkannya. Saya benar benar dapat merasakan makna sebenar sebagai seorang atlet yang dapat menjejak langkah ke kejohanan ini amatlah tak ternilai,” katanya.