By Ismail Muhamad
PASIR MAS | Seramai 10 keluarga kurang berkemampuan dari Kampung Banggol Petai dan Rantau Panjang, menerima sumbangan bakul makanan.
Agihan bakul makanan itu dilakukan oleh Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Ummah Darussalam Kelantan, Haslina Jamaluddin.
Menurut Haslina, penyaluran bantuan itu bagi membantu meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga berkenaan.
Katanya, bakul makanan itu mengandungi beras, gula, tepung gandum, kicap, sardin, milo, teh, bihun, biskut, susu dan sardin.
“”Agihan bantuan seumpama itu tidak mengira masa dengan memberi keutamaan kepada keluarga miskin bagi membantu mereka yang terkesan akibat pandemik Covid 19.
“Sumbangan ini adalah dana daripada Jabatan Pembangunan Wanita Kelantan dengan kerjasama Pertubuhan Persaudaraan Ummah Darussalam Kelantan,” katanya di sini, semalam.
Sementara itu. seorang penerima bantuan, Zainal Hanafiah, 53, bersyukur dengan sumbangan bakul makanan dan sangat membantu keluarganya yang hampir terputus bekalan itu.
Katanya, bekalan makanan di rumah seperti barangan keperluan dapur baru sahaja habis ketika itu.
“Saya bersyukur kerana bakul makanan ini sampai disaat saya dan keluarga amat memerlukannya.
“Dengan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu saya, isteri dan lima anak untuk menggunakannya bagi tempoh beberapa minggu,” katanya.
Dia yang bekerja sebagai penoreh getah mengakui pendapatan yang diperolehi tidak menentu atau anggaran sebulan lebih kurang RM400 hingga RM500.
Seorang lagi penerima yang juga Ibu tunggal, Norsuriawati Mohd Nor, 45, turut merasa terharu dengan sumbangan makanan tersebut.
“Alhamdulillah dengan sumbangan ini dapatlah meringankan beban saya yang bekerja sebagai pencuci di sebuah sekolah untuk menyara tiga anak perempuan berusia antara 20, 22 dan 23 termasuk yang baru tamat pengajian.
“Memandangkan sekarang Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP) 3.0, saya bekerja secara bergilir-gilir buat masa ini,” katanya.