KUALA LUMPUR | Sumbangan vaksin Sinovac sebanyak 500,000 daripada kerajaan China mula dimanfaatkan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Menteri Kanan Luar Negeri (Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Hussein memaklumkan, sumbangan itu dapat menjayakan PICK.
Katanya, sumbangan yang diberikan adalah manfaat daripada hubungan baik Malaysia dan China khususnya di era pandemik COVID-19.
“Hasil sumbangan 500,000 dos vaksin daripada kerajaan China secara percuma itu, ia mula digunakan dalam PICK selepas tiba di Malaysia baru-baru ini,” katanya menerusi laman Facebooknya di sini hari ini.
Beliau bersama Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin dan Duta Besar China ke Malaysia, TYT Ouyang Yujing meninjau proses pemberian vaksin di salah sebuah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Lembah Klang, hari ini.
“Alhamdulillah. Saya difahamkan oleh Menteri Penyelaras PICK, ia (vaksin) telah mula dimanfaatkan secara meluas dalam PIC.
“Memang menjadi harapan Wisma Putra mahu melihat peranan yang dimainkan oleh kementerian ini sedikit sebanyak membantu usaha ke arah mencapai imuniti kelompok. Insya-Allah,” katanya.