KUALA LUMPUR | Statistik pemerdagangan manusia dari tahun 2015 sehingga tahun ini adalah sebanyak 1,854 kes membabitkan 10,463 mangsa.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, daripada jumlah itu, 70 peratus adalah mangsa terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.
Katanya, semua mangsa kebanyakannya adalah wanita dan kanak-kanak serta mereka perlu diberi perlindungan.
“Mereka percaya dengan janji palsu sindiket pemerdagangan orang sehingga menyebabkan mereka menjadi mangsa.
“Kementerian mengucapkan terima kasih kepada semua mangsa yang berani memberi maklumat dan kerjasama dalam membanteras kegiatan pemerdagangan orang.
“Mangsa adalah golongan yang akan terus dilindungi dan mereka boleh jadi petunjuk atau indikator utama kepada kementerian dalam memerangi jenayah ini dengan berkesan,” katanya dalam ucapan sempena sambutan Hari Antipemerdagangan Manusia Sedunia 2021, semalam.
Beliau berkata, sehubungan itu tema hari sambutan ‘Victim, Voices, Lead The Way’ adalah amat bertepatan bagi kerajaan boleh memahami punca utama kepada jenayah.
“Bantuan dan sokongan lebih menyeluruh akan diberikan kepada mereka. Ia adalah sejajar dengan prinsip iaitu bagi memelihara nyawa seseorang manusia termasuklah mengembalikan maruah dan harga diri,” katanya.