KUALA LUMPUR | Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat (Sarawak) di seluruh negeri Sarawak bermula 2 Ogos ini sehingga 2 Februari tahun depan.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, sekali gus menggantung pilihan raya negeri (PRN) daripada diadakan dalam tempoh berkenaan.
“Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 21 Julai 2021 telah bersetuju untuk menasihati KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar memperkenankan Proklamasi Darurat bagi seluruh negeri Sarawak setelah darurat yang berkuatkuasa pada masa ini berakhir pada 1 Ogos 2021,” kata kenyataan itu.
Sehubungan itu, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong setelah berunding dengan Kerajaan Negeri Sarawak telah
memperkenankan Proklamasi Darurat bagi seluruh negeri Sarawak yang akan mula berkuatkuasa pada 2 Ogos 2021 hingga 2 Februari 2022.
“Proklamasi Darurat bagi seluruh negeri Sarawak perlu diisytiharkan untuk menangguhkan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sarawak bagi mengelakkan penularan COVID-19 menjadi lebih serius.
“Dengan Proklamasi Darurat ini, Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sarawak tidak akan diadakan sepanjang tempoh darurat berkuatkuasa kecuali jika darurat ditamatkan lebih awal,” katanya.
Dalam satu warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 30 Julai, Seri Paduka berpuas hati darurat besar iaitu wabak COVID-19 yang sedang berlaku telah menyebabkan keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam terancam.