by Nor Shazleza Shahril
KOTA BHARU | BERSATU Kelantan akan terus menghormati, menjunjung dan memelihara sistem Raja Berperlembagaan, keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang negara.
Ketua Badan Pimpinan BERSATU Kelantan, Datuk Kamarudin Bin Md Nor berkata, pihaknya teguh menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus menerajui dan mengurus tadbir Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“BERSATU Kelantan menyeru semua pimpinan dan parti politik untuk mengetepikan kepentingan politik masing-masing, bersatu hati dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada segala usaha menangani pandemik COVID-19.
“Situasi yang agak getir seperti sekarang memerlukan kestabilan politik bagi usaha-usaha untuk pemulihan dapat dijalankan oleh kerajaan,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
“Oleh itu kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin
sebagai Perdana Menteri perlu dikekalkan dan diberi sepenuh sokongan oleh rakyat,” katanya.