KUCHING | Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjunjung kasih dan menyambut baik keprihatinan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Negeri Sarawak yang bermula 2 Ogos hingga 2 Februari 2022.
Setiausaha Agung, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, Proklamasi Darurat itu dilaksanakan bagi menggantung Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.
“Proklamasi Darurat ini adalah wajar dilaksanakan, mengambil kira keselamatan dan nyawa rakyat di negeri ini yang belum bersedia untuk berhadapan dengan PRN disebabkan penularan wabak COVID-19 yang masih tinggi.
“Walau bagaimanapun, GPS dan seluruh rakyat Sarawak berharap keadaan akan menjadi semakin baik seiring dengan kejayaan Program Imunisasi cVID-19 Kebangsaan (PICK), yang mana 100 peratus populasi dewasa di Malaysia dijangka menerima dos lengkap vaksin pada Oktober ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, perkembangan itu akan membolehkan banyak sekatan yang dilaksanakan dilonggarkan dan kehidupan rakyat akan kembali pulih seperti biasa secara berperingkat.
Katanya, jika keadaan itu berlaku, Agong mungkin berkenan untuk menamatkan Proklamasi Darurat lebih awal.
“Sekiranya tamat lebih awal, ia akan membolehkan PRN diadakan bagi membolehkan rakyat di negeri ini melaksanakan hak mereka untuk memilih dan memberi mandat kepada GPS untuk mentadbir kerajaan negeri.
“GPS menaruh sepenuh keyakinan di atas kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dan Yang di-Pertua Negeri Sarawak dalam perkara ini,” katanya.
Yang di-Pertuan Agong berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat di seluruh negeri Sarawak bermula 2 Ogos ini sehingga 2 Februari tahun depan.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, sekali gus menggantung pilihan raya negeri (PRN) daripada diadakan dalam tempoh berkenaan.