KUALA LUMPUR | Seorang lelaki berusia 28 tahun ditemui maut terbaring atas katil dipercayai dibunuh di sebuah rumah di lorong Ceylon, Bukit Bintang, pagi tadi
Dalam kejadian jam 4.15 pagi itu, anggota bertugas di pusat kawalan daerah menerima maklumat daripada wanita berhubung penemuan mayat suaminya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu.
Ketua Polis Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata siasatan awal dijalan mendapati lelaki berkenaan dipercayai dibunuh.
Bagaimanapun, katanya, bedah siasat akan dijalankan pada jam 9 pagi esok.
“Siasatan awal juga mendapati mangsa mengalami lebam di kedua-dua tangan dan dahi namhn punca kematian belum dapat dipasti lagi.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pihak polis memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kes ini.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi di talian 03-26002222 atau hotline polis Kuala Lumpur (03-21159999) atau mana- mana balai polis terdekat,” katanya.